Tuesday, June 23, 2009

AhLaN ya RajaB

Esok 24/07/2009 Miladiah, insyaAllah sekali lagi kita akan bertemu dengan bulan Allah yang penuh Barakah dan iaitu 1 Rejab 1430 Hijriah. Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut perkiraan kalendar Islam. Sabda Nabi SAW; "Bulan Rejab ialah Bulan Allah, Bulan Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan bulan bagi Umatku..."


Banyak hadis yang telah mensabitkan akan Kelebihan bulan Rejab ini. Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahUllah dalam karya beliau "Mukaasyafatul Quluub" membawa sebuah cerita yang berhubung kait dengan amal soleh dan bulan Rejab. Ini hanyalah sebuah kisah, terpulanglah untuk percaya atau tidak, sesiapa yang percaya mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar juga panduan serta jadi pemangkin untuk menambahkan lagi amalan dalam bulan yang mulia ini. Sesiapa yang tidak percaya, maka terpulanglah, tiada siapa yang hendak memaksanya untuk percaya. Hujjatul Islam al-Ghazali menukilkan dalam bab ke-100 kitab tersebut, kisah seperti berikut:-

Diceritakan bahawa ada seorang wanita di Baitul Muqaddis (tepatnya Baitul Maqdis @ Baitul Muqaddas) yang menjadikan 12,000 kali Surah al-Ikhlas sebagai wiridnya setiap hari di bulan Rajab. Dalam bulan ini, dia mengenakan pakaian dari shuf (yakni sebagai tambahan dan pernyataan sifat zuhudnya). Tatkala dia sakit, dia berwasiat kepada anaknya agar dia dikafankan dengan kain shufnya tersebut. Namun ketika dia mati, dia telah dikafankan dengan kain yang elok. Maka anaknya bermimpi ibunya berkata: "Aku tidak redha kepadamu kerana engkau tidak melaksanakan wasiatku." Terjagalah anaknya itu dengan perasaan cemas, lalu dia mengambil kain shuf ibunya agar dapat dikebumikan bersama ibunya. Maka dia pun menggali kubur ibunya dan tidaklah dia tidak bertemu dengan jenazah ibunya itu, hairanlah anak tersebut lalu dia mendengar satu seruan yang berbunyi: "Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang mentaati Kami dalam bulan Rajab tidak Kami tinggalkan sendirian seorang diri. (yakni ditinggal sendirian dalam lubang kubur)".
Bagaimanakah keadaan kita nanti dalam kubur? Sendirian ? Bertemankan kala dan ular? Allahu Akbar... Mudah-mudahan kuburan kita nanti menjadi taman syurga dan bukannya jurang api neraka.

Di bulan ini juga kita digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa dan bersedekah.. Mudah-mudahan dengan amalan kita ini walaupun sedikit menjadi sebab bagi kita memperoleh rahmat dan maghfirahnya dan menjadi peneman kita ketika keseorangan di alam kubur nanti.InsyaAllah...*Ulama' ada menyebutkan; "Barang(benda) yang kita tak mampu buat kesemuanya JANGAN di tinggalkan kesemuanya." *(tak pasti samada ini perkataan ulama' @ nabi,kalau salah tolong betulkan) Jadi buatlah apa-apa amalan walau sedikit sekalipun,bahkan jangan pula kita meninggalkannya terus. Apa yang penting kita Istiqamah mengamalkannya kerana yang Istiqamah itu terlebih aula(utama) dari 1000 Karamah.


>>>Antara peristiwa penting dalam Bulan Rejab ialah;
  • Israk dan Mikraj (27 Rejab)
  • Difardhukan Solat 5 waktu (Malam Israk)
  • Hijrah Pertama ( ke Habsyah@Ethiopia)
  • Perang Tabuk ( Tahun ke-9 Hijrah)
  • Lahirnya Imam Shafie RA ( di Ghaza,150H/767M)
>>>Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa besar bagi umat Islam dimana Rasulullah SAW telah di 'Israk' kan(dibawa berjalan) pada suatu malam dari Kota Makkah ke Baitul Madddis di Palestin kemudian di 'mikraj' kan(dibawa naik) ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah SWT dimana Solat 5 waktu di fardhu ke atas umat Islam melalui Rasulullah SAW. Semua peristiwa agung ini berlaku dalam satu malam sahaja.

Firman Allah Taala;

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

(Surah Al Israa': 1)



اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan..."







No comments: