Wednesday, August 19, 2009

Khutbah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Pada Hari Terakhir Sya’ban

Daripada Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه, beliau berkata: Pada akhir bulan Sya’ban, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah pada kami:

Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah menghampiri kalian, bulan yang agung, bulan yang diberkati dan bulan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (yakni malam Lailatul Qadar). Bulan yang Allah menjadikan puasa pada bulan tersebut suatu kefardhuan dan sholat pada malamnya suatu perkara yang disunatkan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan tersebut dengan satu jenis kebaikan, maka dia seolah-olah menunaikan satu kefardhuan pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan pada bulan terse but, maka dia seolah-olah menunaikan 70 kefardhuan pada bulan yang lain. la merupakan bulan kesabaran dan kesabaran ganjarannya adalah syurga, bulan melakukan kebaikan dan bulan bertambahnya rezeki bagi orang yang beriman. Sesiapa yang menjamu orang yang berbuka puasa pada bulan tersebut, akan dikurniakan keampunan, dikurniakan pembebasan dari neraka dan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun dari balasannya.

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Tidak semua daripada kami mempunyai sesuatu untuk dijamu kepada orang yang berbuka puasa?" Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Allah juga mengurniakan ganjaran ini bagi orang yang menjamu orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji tamar, atau seteguk air, atau sekali hisapan susu.

Bulan ini, awalnya ialah rahmat, pertengahannya ialah maghfirah dan penghujungnya ialah pembebasan dari neraka. Maka sesiapa yang meringankan kerja pekerjanya pada bulan ini, nescaya Allah mengampunkan dosanya dan membebaskannya dari neraka.

Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sentiasa memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka. Sesiapa yang mengenyangkan orang yang berpuasa, nescaya Allah memberikan kepadanya dari telagaku minuman yang tidak akan menghauskan sehinggalah dia memasuki syurga.”

Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Shohihnya, al-Baihaqi dan Abu al-Syaikh Ibnu Hibban



Antara pengajaran yang dapat dipetik dari hadits diatas:
  • Pentingnya membuat persediaan (ilmu, mental dan fizikal) sebelum ketibaan bulan Ramadhan agar ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah sebelum datangnya Ramadhan untuk memberi peringatan serta motivasi kepada para shahabat untuk bersedia menerima kedatangan Ramadhan.
  • Ramadhan bulan yang sangat istimewa, bulan yang agung lagi diberkati. Oleh kerana itulah kehadirannya dinantikan. Dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengajarkan doakan agar disampaikan kita ke bulan Ramadhan yang mulia itu.
  • Lailatul Qadar, malam yang mana lebih baik dari 1,000 bulan, berlaku pada salah satu malam dari bulan Ramadhan.
  • Pada bulan Ramadhan difardhukan berpuasa pada siangnya dan pada malamnya disunatkan mengerjakan sholat Tarawikh
  • Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran bagi mereka yang bersabar adalah jannah (syurga).
  • Pada bulan Ramadhan ganjaran dilipatkan gandakan. Mengerjakan 1 kefardhuaan di bulan Ramadhan, pahalanya seumpama mengerjakan 70 kefardhuan di bulan lain. Manakala mengerjakan perkara sunat pula ganjaran seumpama mengerjakan yang wajib.
  • Keutamaan menjamu orang berbuka puasa. Rebutlah peluang untuk mendapat minuman dari telaga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kelak di masyhar dengan memberi minuman kepada orang yang berpuasa. Raihlah keampunan dari Allah dan pembebasan dari api neraka dengan menjamu orang untuk berbuka puasa.
  • Banyakkan mengucapkan لا اله الا الله dan beristighfar di bulan Ramadhan
  • Banyakkan berdoa untuk memohon kepada Allah untuk memasuki syurganya dan pohonlah perlindungan denganNya dari dicampakkan kedalam api neraka di bulan Ramadhan.
  • Rebutlah rahmat, magfirah (keampunan) dan pembebasan dari dari api neraka dengan mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna dan perbanyakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.
Wallahua'lam...

.:Salam Ramadhan Al-Mubarak:.

Monday, August 3, 2009

Bulan Sya'ban

Alhamdulillah..
Hari ni dah 12 hari Sya'ban berlalu,maka dah makin dekat la kita dgn bulan yg penuh Kemuliaan n Barakah yaitu Ramadhan al-Mubarak. Semestinya kita semua mengharapkan untuk sampai ke Bulan Ramadhan ini.

Hmm, aku pun dah lama x update blog ni..
maklumla,sem ni aku xbwk laptop.
ye r,lau ada laptop asyik dok main game je..
bajet nk blaja la konon.hahaha...
tp xpe,kira ada azam gak la.
keh3...

sbnrnye xde ape nk post pun
cuma ada nk share artikel yg mgkn berguna untuk korang n aku sendiri..
artikel ni sbg nk menguatkan lg amalan atau pegangan kita selama ni dan juga sbg panduan utk menolak golongan yg suka membida'ahkan sesetengah amalan sunat yg kita amalkan sebelum ini.

Kelebihan sya'ban

Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:

ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟
ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa." (Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)

Disini Nabi menyebut dua kelebihan bulan rejab:-

1. Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.

2. Bulan yang diangkat amalan kepada Allah swt.

Adakah Nabi saw berpuasa penuh pada bulan sya'ban?

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh dalam bulan sya'ban sperti hadis:

كان يصوم شعبان كله

"Nabi saw berpuasa penuh didalam bulan sya'ban." (Hr Bukhari - sahih)

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa sebahagian besar pada bulan sya'ban dan tidak penuh seperti hadis:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شعبان إلا قليلا

" Rasulullah saw telah berpuasa sebahgian besar dari bulan sya'ban." (Hr Nasaie)

Sekelompok ulama telah mentarjih pendapat yang mengatakan Nabi saw tidak berpuasa penuh dalam bulan sya'ban. Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan dari 'Aisyah ra:

ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان

"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan ramadan." (Hr Bukhari dan Muslim - sanad sahih)

oleh itu Ibnu Abbas menganggap makruh orang yang berpuasa penuh selama sebulan melainkan ramadan.

Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban

Haram berpuasa sunat selepas 15 sya'ban. Ini jelas dari hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw:

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

"Apabila telah berlalu 15 sya'ban tidak boleh puasa." (Hr Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah - sahih)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya adatnya pada hari tertentu dia berpuasa sebelum 16 sya'ban atau menyambung dari puasa yang seseorang puasa sebelum 16 sya'ban. Ini berdasarkan hadis berikut:

لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين إلا إذا كان يصوم صوما فليصمه

"Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka dia boleh teruskan puasa." (Hr Bukhari dan Muslim)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya puasa wajib seperti puasa ganti dan puasa nazar.


Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :

"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."

Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah,
bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.


Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:

* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

>>>Kalau Bulan Rejab berlakunya peristiwa isra' dan mi'raj yg mana Rasulullah saw menerima kefardhuan solat 5 waktu secara langsung, maka di bulan Sya'ban ini pula berlaku peristiwa2 diantaranya;
  • terjadinya peristiwa terbelahnya bulan yang sebagaimana tersebut dalam al-Quran di surah al-Qomar ayat 1
  • turunnya perintah penukaran qiblat dari Masjidilaqso ke Masjidilharam sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 144
  • dan turunnya perintah supaya bersholawat ke atas junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut di surah al-Ahzaab ayat 56.
Oleh itu,marilah kita sama2 memperbanyakkan berselawat keatas Nabi saw..
xkiralah sighah salawat ape yg kita baca,samada Ibrahimiyyah,Tafrijiyyah,Munjiyyah atau sebagainya..Yg penting kita istiqamah mengamalkannya. Tp,kita disarankan banyakkan baca salawat ibrahimiyyah(yg kita bc msa tahiyyat akhir) bahkan Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma`tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.


Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Wallahu A'lam